.

Tuesday 29 March 2011

Batas Aurat Lelaki Dan Wanita

Batas Aurat Lelaki Dan Wanita

SOALAN: Saya ingin tahu batas-batas aurat lelaki dan wanita ketika berada di hadapan umum. Bagaimanakah aurat wanita Islam ketika bersama-sama wanita bukan Islam dan ketika berada di hadapan lelaki yang mahram dan bukan mahram?
Saya begitu keliru kerana ada berbagai-bagai corak dan bentuk pakaian wanita Islam pada hari ini. Antara mereka ada yang memakai tudung kepala, tetapi masih memakai kemeja-T dan seluar jeans. Harap tuan nyatakan juga yang mana satu pakaian Islam yang memenuhi ciri-ciri Islam sebenarnya. - ZURAIRAH, Sri Manjung, Perak.

Jawapan: Islam tidak pernah menentukan fesyen atau bentuk pakaian yang diberi nama pakaian Islam. Islam menerima semua fesyen dan reka bentuk pakaian asalkan pakaian itu menutup aurat dengan sempurna dan tidak membangkitkan nafsu seks sama ada lelaki atau wanita.

Saya pernah menyebutkan dalam siri tulisan saya terdahulu dalam ruangan ini, pakaian Melayu seperti kebaya labuh, baju kurung, sarung dan seluar besar boleh diterima sebagai pakaian yang memenuhi keperluan menutup aurat menurut kehendak Islam.

Kemeja-T dan seluar yang terlalu ketat sehingga kelihatan bentuk badan dan pakaian yang terlalu nipis, tidak boleh dianggap pakaian Islam kerana ia tidak mampu menutup aurat dengan sempurna. Demikian juga pakaian yang bertulis kata-kata yang tidak manis disebut seperti I Love You, Kiss Me dan sebagainya, tidak sesuai dipakai sama ada oleh wanita atau lelaki Islam, kerana tulisan itu memberi erti yang negatif dan bertentangan dengan nilai-nilai dan adab sopan Melayu dan Islam.

Aurat wanita Islam yang wajib ditutup supaya tidak dilihat lelaki yang bukan mahram dan juga wanita yang bukan muslim ialah seluruh badannya, kecuali muka, dua tangan dan dua tapak kaki menurut sesetengah pendapat. Saya setuju dengan pendapat ini kerana ia sederhana dan tidak menyulitkan wanita.

Ada beberapa pendapat lain turut menyatakan hukum dan batas-batas aurat wanita, misalnya kewajipan menutup aurat itu hanya khusus kepada isteri-isteri nabi. Wanita biasa dan bukan isteri nabi tidak wajib menutup aurat seperti yang disebutkan di atas, kerana tiada dalil menyebutkan dengan jelas bahawa mereka juga dikehendaki menutup aurat.

Selain itu, ada lagi pendapat yang agak keras iaitu wanita dikehendaki menutup seluruh badan termasuk muka, dua tangan dan kaki, kecuali sebelah mata kiri sahaja yang harus dibuka bagi keperluan bergerak ke sana sini. Bagi memenuhi keperluan ini, mereka perlu memakai pakaian seperti niqab yang menutup muka, di samping jilbab yang biasa dipakai wanita.

Saya cenderung kepada pendapat yang menyatakan muka dan dua tapak tangan harus dibuka kerana keperluan hidup harian mendesak wanita membuka muka dan tangan. Hidup harian yang dimaksudkan termasuklah pergerakan wanita yang berkerjaya, seperti guru dan pelajar. Mereka perlu membuka muka ketika berada di luar rumah dan ketika berinteraksi dengan murid-murid di bilik darjah, ketika berbincang dan menduduki peperiksaan dan di tempat kerja.

Saya kira pendapat ini cukup sesuai bagi menjalani kehidupan yang lebih selesa dan mudah terutama bagi wanita dalam masyarakat seperti di Malaysia yang pada umumnya berkerjaya seperti lelaki. Wanita yang berkerjaya, pada anggapan saya, tiada alasan untuk tidak menutup aurat, tiada juga tanda-tanda menunjukkan bahawa pakaian yang menutup aurat itu mengurangkan tahap kecemerlangan dalam perkhidmatan mereka.

Pendapat sesetengah orang yang membenarkan wanita mendedah aurat dan sebahagian besar anggota badannya kepada umum agak keterlaluan. Sumber-sumber tafsir dan hadis menyatakan pendedahan aurat itu adalah aksi kaum jahiliah pada suatu ketika yang lalu dan ditolak oleh Islam.
Ulama berbeza pendapat dalam menentukan hukum sama ada tapak kaki wanita juga termasuk bahagian daripada aurat yang wajib ditutup atau bukan aurat. Sesetengah mazhab menyatakan tapak kaki tidak wajib ditutup, kerana ia perlu dibuka bagi keselesaan berjalan, lagipun tapak kaki tidak mendatangkan reaksi negatif kepada kaum lelaki.

Dalam surah al-Nur, ayat 30-31 menyatakan batas-batas aurat dan perhiasan yang harus dan tidak harus dibuka. Menurut tafsir Ibn Abbas, muka dan dua tapak tangan atau disebutnya sebagai perhiasan zahir dikecualikan daripada anggota badan yang wajib ditutup. Perhiasan batin iaitu telinga, leher, rambut, dada, dua lengan dan betis hanya harus dibuka ketika di rumah atau ketika berada di hadapan keluarga terdekat iaitu bapa, anak-anak, ibu bapa mentua dan adik-beradik.

Anggota yang lebih sulit seperti belakang, perut, kemaluan dan paha, tidak harus dibuka sama sekali, sekalipun di hadapan keluarga terdekat atau sesama wanita, sama ada Muslim atau bukan Muslim, kecuali kepada suami sahaja yang diizin melihat seluruh anggota isterinya.

Dengan kata lain, aurat wanita dari segi tempat terbahagi dua iaitu di dalam dan di luar rumah.
1*Di dalam rumah ketika di hadapan mahram, tidak wajib ditutup anggota-anggota leher, rambut, lengan dada, betis dan perhiasan yang dipakai pada anggota-anggota itu.

2*Ketika di luar rumah pula, biasanya wanita lebih terdedah kepada orang ramai, dia hanya harus membuka muka dan tangan.

Hukum ini difahami daripada firman Allah yang bermaksud: Wahai Nabi! Suruhlah isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan orang perempuan yang beriman, supaya mereka melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya, semasa mereka keluar. Cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal sebagai perempuan-perempuan yang baik. - (al-Azhab: 59).

Difahamkan perintah ini dikenakan kepada wanita-wanita yang masih muda kerana bimbang keselamatan mereka diganggu lelaki yang tidak bermoral. Tidak benar jika ada pendapat menyatakan Islam tidak mempercayai iman dan ketakwaan lelaki, kerana iman adalah soal yang terlalu nisbi sama ada lelaki atau wanita. Penutupan aurat adalah sebagai langkah pencegahan sebelum sesuatu kejadian buruk berlaku.

Wanita yang sudah lanjut usia atau disebut dalam al-Quran al-qaqaid min al-nisa, iaitu wanita yang tidak berminat lagi untuk berkahwin atau tidak lagi diminati lelaki, mereka harus membuka sebahagian pakaian luar yang menutup badannya, tanpa memakai perhiasan yang berlebihan kerana dibimbangi keselamatan mereka terancam atau diganggu.

Hukum ini dijelaskan dalam surah al-Nur, ayat 60 yang bermaksud: Mana-mana perempuan tua yang telah putus haid, yang tidak mempunyai harapan berkahwin lagi, maka tidak ada salahnya mereka meninggalkan pakaian luarnya, tanpa bertujuan mendedahkan perhiasan.

Namun jika mereka tetap mempertahankan penutupan aurat dengan lebih sempurna, ia adalah lebih baik dan menjamin keselamatan mereka. Saya berpendapat wanita tua ada baiknya juga memilih hukum yang dilonggarkan itu serta menerima keterbukaan Islam dalam soal aurat dan cuba merealisasikan hikmah yang tersirat di sebaliknya, seperti merapatkan hubungan orang tua dengan masyarakat sekitar dan lain-lain.

Aurat wanita sesama wanita pula ialah seluruh badan kecuali kawasan antara pusat dan lutut. Kawasan ini haram dilihat atau didedah, sekalipun tanpa berlaku fitnah yang dibimbangi.

Batas-batas aurat lelaki pula, ulama sepakat menyatakan kemaluan hadapan dan belakang merupakan aurat mughallazah (keras) yang wajib ditutup. Tetapi mereka berbeza pendapat tentang hukum paha, sama ada ia juga wajib ditutup.

Kebanyakan ulama berpendapat paha termasuk aurat yang wajib ditutup bagi lelaki. Ini bermakna, aurat lelaki ialah kawasan antara pusat dan lutut. Mereka bersandarkan sebuah hadis riwayat Bukhari daripada Jarhad dan lain-lain yang menyatakan paha itu aurat. Sebahagian ulama berpendapat hadis ini terdapat beberapa kelemahan yang mencacatkan kesahihannya dari segi hujah dan pengambilan hukum.

Sesetengah ulama pula berpendapat paha tidak termasuk aurat yang wajib ditutup kerana ada hadis Anas yang juga diriwayatkan oleh Bukhari. Hadis itu menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah membuka paha sucinya. Pendapat ini didukung oleh Ibn Hazm dan Imam Malik.

Dalam kitab-kitab mazhab Malik menyatakan bahawa aurat lelaki hanya terbatas kepada dua bahagian kemaluan sahaja.

Sebahagian ulama fikah cuba menserasikan antara dua pendapat ini dengan mencari jalan tengah, termasuk Imam Bukhari sendiri yang berpendapat hadis riwayat Jarhad lebih sempurna bagi penutupan aurat, sekalipun daif, manakala hadis Anas pula lebih sahih dari segi riwayat. Ini bermakna Imam Bukhari lebih cenderung kepada hadis Jarhad dalam hal penutupan aurat yang membabitkan hukum masyarakat.

Imam al-Syaukani juga lebih cenderung kepada hadis Jarhad yang menyatakan paha itu aurat. Menurut beliau, hadis Anas walaupun kedudukannya lebih kuat, namun ia lebih merupakan suatu pemberitahuan tentang keadaan nabi. Jalan pemberitahuan ini lebih khusus kepada nabi sahaja. Maksudnya, hukum itu tidak boleh diamalkan oleh umatnya secara umum dan menyeluruh.
Ibn al-Qayyim pula cuba mencari jalan serasi yang lain, beliau mengatakan aurat itu terbahagi dua iaitu mughallazah (berat) dan mukhaffafah (ringan). Kemaluan hadapan dan belakang dikategorikan sebagai aurat mughallazah (berat), paha pula dikategorikan sebagai mukhaffafah (ringan). Bagaimanapun kedua-duanya dikira aurat dan wajib ditutup juga.

Pendapat yang bersandarkan hadis Anas ini memberi sedikit kelonggaran kepada ahli sukan dan pasukan beruniform yang memilih pakaian itu jika ia tidak mengganggu pandangan orang ramai dan penonton. Hadis riwayat Anas menjadi sebaik-baik hujah kepada mereka.

Saya berpendapat majoriti masyarakat Islam Malaysia yang berpegang kepada mazhab Syafie pada umumnya masih belum dapat menerima pendedahan paha bagi kaum lelaki.

Walaupun sebelum ini beberapa pasukan beruniform mengenakan pakaian seluar pendek seperti polis dan kanak-kanak sekolah. Pakaian itu kini bertukar kepada seluar panjang, kerana masyarakat Islam dan budaya Melayu tidak dapat menerima pendedahan paha kepada umum.

Terima kasih. Semoga kita mendapat taufik dan hidayah daripada Nya.
panjang-panjangkan ...
sumber asal: efenem.files.wordpress.com/2009/.../batas-aurat-lelaki-dan-wanita.doc

No comments:

Post a Comment